| MANDI WAP HALUSKAN KULIT |
|
|
|
| Written by Admin Website | |
| Saturday, 07 July 2007 | |
|
MANDI WAP HALUSKAN KULIT Oleh: AMELIA HASHIM BAGI sesiapa yang sering keluar negara atau berada lama di sana atas sesuatu urusan, tentu pernah merasakan mandi wap atau sauna. Setelah pulang ke tanahair tentu akan terkenang-kenang pengalaman itu. Mandi wap bukan sesuatu yang baru bagi orang-orang Melayu kerana sejak lama dahulu ia menjadi di antara cara pengubatan tradisional. Yang membezakan amalan itu dilakukan adalah bertujuan mengubati penyakit dan bukan menjadi amalan untuk menjaga kesihatan. Kini di Malaysia tempat seumpama itu diwujudkan bagi memenuhi permintaan kalangan yang pernah mengalaminya di luar negeri. Malah ianya mendapat sambutan ramai setelah mengetahui kelebihan di segi penjagaan kesihatan. Dengan bermodalkan RM10 ribu Sarjan Mejar (B) Rejemen Tentera Darat Malaysia Haji Ahmad Mohd Alim memulakan perniagaan ini di rumahnya di Taman Bahagia, Jitra. Beliau membina empat bilik yang setiap satunya dilengkapi saluran paip untuk mengalirkan wap dari dapur rebusan herba terpilih yang diperolehi dari Gunung Jerai. Keharuman tujuh belas (17) jenis herba itu merebak ke setiap ruang dalam rumah dan pelanggan yang pernah datang untuk mendapatkan perkhidmatan mandi wap pasti akan mengulanginya. Menurut tuan Haji Ahmad atau lebih dikenali dengan Pak Mat Joe, dia tergerak untuk membuka salon yang dinamakan ' Rawatan Kesihatan Tradisional ' ini setelah banyak kali keluar negeri dan merasakan kesegaran tubuh setelah mengalaminya. Malah pelanggan tentu akan beroleh ketenangan fikiran apabila berada dalam kamar yang dipenuhi kabus herba itu. Katanya, herba terpilih ini pula dari sudut perubatan tradisional berupaya menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk darah tinggi, kencing manis, penat, senak medu, batu karang, ketegangan saraf, sakit buah pinggang, kebas dan penat. Khasiat daripada tumbuhan terpilih ini juga dikatakan mampu melancarkan pengaliran darah dalam tubuh dan paling istimewa bagi kaum wanita ialah menyegar serta menghaluskan kulit. Bagi wanita yang mengambil berat mengenai kecantikan wajah dan pernah melakukan rawatan muka di salon-salon kecantikan, rawatan berkenaan termasuk juga kegiatan wap tetapi pada bahagian muka sahaja. Sekiranya melakukan mandi wap bukan sekadar menghalus kulit pada wajah tetapi keseluruhan tubuh. Malah herba ini menerbitkan keharuman yang melekat pada tubuh sehingga kembali ke rumah. Salon rawatan ini diuruskan oleh isteri beliau Puan Salbiah Salleh, yang mula dibuka pada jam 09.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari kecuali hari Jumaat, di tutup pada waktu Solat Jumaat. Selain itu salon ini ada menjual ubat-ubat tradisional dibuat daripada herba-herba yang dikeringkan. Menurut Puan Salbiah, ramai pelanggan salonnya terdiri daripada kalangan wargatua dan wanita yang lepas bersalin yang juga menyediakan khidmat urut tradisional selepas mandi wap. Petikan Warta Darul Aman Bil 2 2002 |
| Next > |
|---|
















